November 23, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Ezad Lazim Rakam Semula Lagu ‘Rindu Hatiku Rindu’

Spread the love

Penyanyi yang tidak asing lagi, Ezad Lazim yang terkenal dengan lagu balada menyentuh hati kembali mencuri tumpuan ramai apabila merakam semula lagu viral “Rindu Hatiku Rindu” yang pernah dinyanyikan oleh penyanyi cilik, Tantari.

Lagu ala 90’an ini diberi nafas baru oleh Ezad, menjadikannya sebuah karya milik beliau sendiri. Dengan suara lemak merdu dan lenggok nyanyian tersendiri, Ezad Lazim berjaya menghidupkan kembali aura dan emosi lagu itu dengan sentuhan peribadinya.

Versi asal lagu ciptaan komposer ternama, Eddie Hamid dan lirik oleh Jaju dan Hakim Hakimi nyanyian Tantari yang diterbitkan awal tahun ini berjaya bertakhta di kedudukan #1 Trending selama 20 hari berturut-turut di YouTube dan kini sudah pun mencapai lebih 9 juta tontonan!

Ezad berkata, adalah satu penghormatan buat dirinya apabila diberi peluang untuk merakamkan semula lagu yang mendapat tempat di hati orang ramai ini.

“Peluang merakamkan semula lagu ini adalah satu penghormatan dan saya harap versi ini juga akan mendapat sambutan hebat pendengar seperti versi asal lagu ini.  Saya berasakan lagu ini sangat istimewa, bukan sahaja buat peminat muzik masa kini tetapi juga sebagai satu bentuk penghargaan terhadap karya seni yang melangkaui zaman,”katanya.

Menurut Ezad, rakaman versi baharu ini diharap dapat meluaskan lagi golongan pendengar lagu ini.

“Versi asal lagu Rindu Hatiku Rindu mendapat sambutan hebat ramai pendengar. Saya berharap rakaman semula lagu ini akan dapat melebarkan lagi kelompok pendengar lagu hebat ini.

“Proses rakaman semula lagu ini dilakukan dengan penuh teliti di mana saya bekerja rapat bersama penerbit untuk memastikan elemen asal lagu ini terpelihara. Pada masa sama, susunan muzik diolah sedikit untuk menyesuaikan dengan nyanyian seoang penyanyi dewasa,” katanya.

Apa yang pasti, dengan gaya persembahan yang lebih matang dan menyentuh hati, rakaman semula “Rindu Hatiku Rindu” versi Ezad Lazim ini dijangka mampu menarik ramai golongan pendengar yang baru.

Terdahulu, Tantari atau nama sebenarnya Naufal Azahel Mohd Alfian yang ketika itu baru berusia 6 tahun telah merakam versi asal lagu “Rindu Hatiku Rindu”. Dilancarkan pada 15 Februari lalu, lagu tersebut bukan sahaja ‘trending’ untuk muzik di YouTube tetapi juga viral di TikTok dengan pencapaian tontonan video muzik lagu ini sebanyak 4 juta di akaun TikTok HafizFeisal.

Sementara itu, Ezad yang mula mencipta nama sebagai vokalis utama kumpulan Exists sudah merakam banyak lagu-lagu hits malar segar seperti Jesnita (16 juta tontonan di YouTube); Mengintai Dari Tirai Kamar (14 juta tontonan di YouTube); Seperti Dulu (14 juta tontonan di YouTube) dan Alasanmu (10 juta tontonan di YouTube) dengan kumpulan tersebut.

Ezad turut mencatat banyak kejayaan sebagai penyanyi solo menerusi lagu-lagu hits yang menjadi siulan ramai. Antaranya, Demi Cinta (14 juta tontonan di YouTube); Percintaan Ini (5.2 juta tontonan di YouTube) dan Hati Mati (3.8 juta tontonan di YouTube).

Single “Rindu Hatiku Rindu” Ezad Lazim yang dikeluarkan bulan lalu sudah boleh distrim di semua pelantar penstriman muzik. Video lirik rasmi lagu tersebut yang dimuat naik pada 18hb. September ’24 berjaya mencapai kedudukan Top 20 trending di YouTube!

Kini, siaran perdana video muzik rasmi lagu tersebut akan berlangsung di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ pada hari Jumaat, 8 November ’24 jam 3 petang di pautan https://www.youtube.com/watch?v=4S4i2JhhUnk.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page