November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

50 Ribu Peminat “Histeria” Kerana Muse

Spread the love

Kredit foto: Redzuan Selebriti online

Kali terakhir Muse mengadakan persembahan di Asia adalah pada 2019 menerusi acara Singapore Grand Prix yang juga sebahagian daripada jelajah konsert Simulation Theory. Kali pertama mereka mengadakan konsert di Malaysia iaitu pada tahun 2007 dimana Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi saksi kehebatan band yang sarat dengan nuansa indie rock dan progressive rock.

Selepas 16 tahun Muse kembali menerusi Konsert Will Of The People World Tour di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 29 Julai lalu.  Konsert anjuran Hello Universe ini adalah siri jelajah dunia pertama Muse selepas pandemik COVID-19 melanda dunia pada 2019. Kuala Lumpur adalah satu-satunya destinasi di Asia yang disinggahi mereka.

Meskipun peminat ‘disidai’ lama atas beberapa masalah teknikal, semuanya berubah ‘sekelip mata’ apabila 3 tubuh iaitu Matthew Bellamy (vokal, gitar, piano), Chris Wolstenholme (bass) dan Dominic Howard (drum, perkusi)  yang membawa jenama Muse mula menakluki pentas sekitar jam 9.25 malam menerusi intro yang menjadi ‘opening’ persembahan mereka.

Tanpa banyak bicara, Will The People, Interlude dan Hysteria terus berkumandang lantas menyaksikan lontaran vokal Matt bersahutan dengan peminat lantas membuat seluruh stadium bergema.  Aura Muse mengubah atmosfera lantas ‘membunuh’ amarah peminat mahupun Muse sendiri.

Psycho, Thought Contagion, Won’t Stand Down dan Compliance terus menjadi wadah khalayak yang memenuhi ruang di Stadium Nasional Bukit Jalil.  Aksi-aksi Matt, Chris dan Dominic sentiasa menjadi sasaran lensa jurugambar mahupun ‘handphone’ penonton.

Meskipun usia mereka telah menganjak 40an, Muse yang ditubuhkan pada tahun 1996 ini punya karisma, energi dan aura tersendiri, jadi tidak hairanlah mengapa  mereka menjadi salah satu band rock terbesar di British sekaligus mampu ‘menawan’ dunia.

Sepanjang beraksi, Matt berkali-kali menzahirkan penghargaan kepada penonton yang tidak pernah jemu memberi sokongan kepada mereka.

“Terima kasih Kuala Lumpur. Anda tunggu 16 tahun, saya harap selepas ini, anda tidak perlu tunggu terlalu lama lagi,” ujarnya.

Tiga dekad penubuhan, pelbagai pengalaman mereka lalui jadi momentum dan kualiti persembahan menjadi ‘kayu pengukur’ untuk mereka terus kekal relevan.  Bukan sekadar lirik dan melodi menjadi sandaran tetapi resepi itu menjadi kejayaan Muse.

Konsert Will Of The People World Tour yang berdurasi 90 minit itu menghimpunkan lebih 20 buah termasuk beberapa buah lagu yang dipetik menerusi album terbaharu ‘Will Of The People’ yang menjadi ‘penyerap’ telinga khalayak yang hadir.

You Make me Feel Like It’s Helloween, Madness, Resistance, The 2nd Law: Isolated System, Supermasive Black Hole, Plug In Baby, Behold The Glove, Uprising dan Starlight adalah antara lagu yang dipersembahkan.  Tidak ketinggalan lagu-lagu yang menjadi ‘racun’ buat peminat tegar Muse seperti Kill or Be Killed dan Knight of Cydonia.

Mainan paparan LED, pencahayaan, sistem bunyi dan nyalaan pyro menjadikan persembahan Muse cukup ‘bernyawa’apatah lagi ianya ‘disenyawakan’ bersama garapan melodi yang pastinya sampai di jiwa setiap penggemar mereka.

Terdahulu, tirai konsert dibuka dengan persembahan kumpulan Kyoto Protocol yang dipilih sendiri oleh Muse.

Persembahan selama setengah jam itu menyaksikan band terbabit menyanyikan tujuh lagu iaitu Alive, Guilty Plea, Delta Wing, Beautiful, Gimme Nothing dan Pussycat. Mereka turut mendendangkan lagu yang dipopularkan kumpulan Lefthanded berjudul Tiada Lagi Kidungmu yang dipersembahkan mengikut rentak Kyoto Protocol.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page