48,000 Veteran ATM Terima Bantuan Menerusi Tabung Pahlawan
Seramai 48,000 veteran berjaya dibantu menerusi Tabung Pahlawan yang diperkenalkan Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) sejak 1950.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ianya melibatkan bantuan sara hidup, bencana alam dan kesihatan seperti kemudahan dialisis, penyediaan anggota atau bahagian badan palsu serta inisiatif perumahan dan bantuan pengurusan jenazah.
“Hasil sumbangan daripada tabung inilah yang dimanfaatkan secara sistematik dan terurus untuk membantu meringankan beban dan tekanan mereka,” ujar beliau pada Majlis Malam Amal Kempen Tabung Pahlawan di Wisma Perwira ATM, yang telah berlangsung pada 24 September lalu.
Menurut beliau, sehingga kini, terdapat kira-kira 300,000 anggota veteran dan tanggungan yang direkodkan menjadi golongan sasar tabung berkenaan.
Ramai dalam kalangan veteran perlu dibantu terutamanya melibatkan perkara yang tidak disediakan oleh pihak kerajaan antaranya seperti bantuan susu khas, lampin dan peralatan pakai buang.
“Malah, sebahagian besar mereka yang memerlukan bantuan ini adalah veteran terlantar yang daif, berpendapatan rendah dan tidak mampu menguruskan diri,” ujarnya.
Sehubungan itu beliau menyeru lebih ramai individu dan syarikat korporat untuk menyalurkan sumbangan ke tabung berkenaan.
“JHEV ATM akan cuba memudahkan proses memberi sumbangan dan memastikan sumbangan boleh dibuat melalui pelbagai saluran tanpa mengira jumlah dan nilai kerana sumbangan yang diberikan sangat bernilai.
“Dana yang dikutip ini akan bertindak sebagai satu tabung bantuan kecemasan tambahan bagi kumpulan veteran ATM yang memerlukan bantuan dan sokongan yang tidak dapat disalurkan oleh kerajaan dalam keadaan tertentu,” jelasnya.
Datuk Jamal Abdillah dan Liza Hanim turut membuat persembahan pada Majlis Malam Amal Kempen Tabung Pahlawan.
Pada masa sama, JHEV ATM turut memperkenalkan penggunaan Kad Veteran Digital Veteran ATM yang akan dipaparkan dalam peranti mudah alih melalui aplikasi Veteran Integrated Benefit System (VIBES) 2.0.
Orang ramai juga berpeluang menyalurkan sumbangan terus ke akaun Kempen Tabung Pahlawan melalui Yayasan Veteran ATM di 5643 4262 2956 (Maybank), 8604 2715 71 (CIMB Islamic Bank Berhad) atau Tabung Rayuan Hari Pahlawan di 1059 5000 3201 (Affin Islamic Bank Berhad).
Turut hadir Penaung KTP, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Hafizudeain Jantan, Panglima Tentera Laut, Datuk Laksamana Zulhelmy Ithnin dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV ATM), Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki.