September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

4 Karya Tempatan Terima Pengiktirafan di Anugerah Seni BOH Cameronian Ke 19

2 min read
Spread the love

Oleh:  RafidahWhite ASamah

Empat karya tempatan menerima anugerah ‘Terbaik Pada 2023’ dalam Anugerah Kesenian BOH Cameronian ke-19 (19BCAA) yang terdiri daripada kategori teater, muzik dan tarian yang diadakan di Pentas 1 PJPAC, 1 Utama, Petaling Jaya, Selangor pada 5 Mei lalu.

Empat karya yang memenangi anugerah tersebut termasuk produksi yang bertajuk Dondang Dongeng (kategori muzik), Switchblade Operation: The Longing (kategori tarian) serta Fault Lines dan Malam Takdir (kategori teater).

Kesemua karya tersebut masing-masing dipersembahkan oleh rumah produksi Playspace and RMP, Protagonist Studio, Five Arts Centre and Reka Art Space dan Kongsi Petak and Cake Project.

Kesemua produksi yang memenangi kategori tersebut berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM5,000 berserta trofi Anugerah Seni Cameroninan BOH.

Dalam pada itu, terdapat 39 anugerah lain yang turut disampaikan pada majlis anugerah tersebut termasuk Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Cameronian BOH yang dinobatkan kepada pemain alat muzik sape’ dari Sarawak, Mathew Ngau Jau, 72.

Dimana pihak juri melihat kepada beberapa aspek antaranya adalah rakyat Malaysia dan/atau individu atau organisasi kelahiran Malaysia yang mencatatkan kejayaan di arena antarabangsa dengan visi dan kecemerlangan seni mereka.

Presiden Persatuan Kakiseni, Low Ngai Yuen berkata, anugerah tersebut diberikan kepada beliau kerana ia dapat menunjukkan bukti nyata kepada legasi berkekalan masyarakat Kenyah Ngorek di Sarawak dengan melodi alat muzik berkenaan.

19BCAA pada tahun ini disambut dengan tema Pentas Kehidupan: Meneroka Tanpa Batasan yang menggariskan impak trasnformatif seni dan kekayaan pengalaman manusia sebagai sumber inovasi dan imaginasi.

Acara penganugerahan tersebut dianjurkan oleh Kakiseni dan diterajui oleh BOH Plantations Sdn Bhd bersama Capri Communications, Yayasan Sime Darby (YSD), Hauntu dan Taylor’s University.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JJKN), Rosnan Nordin, Penolong Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Daneal Syawal Abdullah dan Pengerusi Eksekutif BOH Plantations Sdn Bhd, Caroline Russell.

Untuk senarai penuh Pemenang, sila layari kakiseni.org/awards/19BCAA


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page