September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

36 PELANCONG BERDEPAN DETIK CEMAS MENARA TAMING SARI GAGAL BERFUNGSI DI SEPARUH JALAN

2 min read
Spread the love

MELAKA, 2 Julai — Seramai 36 pelancong berdepan detik cemas apabila pelantar jenis gyro Menara Taming Sari di Banda Hilir di sini, yang berketinggian 110 meter (m) berhenti ketika berada di ketinggian 60m.

Seorang mangsa, Zuliani Zulkeple, 42, dari Bidong, Kedah berkata beliau bersama 13 ahli keluarganya termasuk dua kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun dan lelaki berusia setahun empat bulan, menaiki menara berkenaan pada 5.30 petang.

“Ketika berada di puncak, pelantar tersebut sempat berpusing sebanyak dua kali sebelum tiba-tiba berhenti. Ketika itu saya ingatkan pelantar sengaja berhenti untuk memberi peluang kepada pelancong mengambil gambar.

“Bagaimanapun pelantar tersebut berhenti sangat lama. Ada pelancong yang mula mengalami sesak nafas kerana kekurangan oksigen berikutan pelantar berkenaan hanya mempunyai satu pintu servis dan tidak bertingkap,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Zuliani, yang merupakan seorang jururawat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani itu berkata berikutan itu, ada pelancong bertindak duduk berdekatan pintu servis bagi mendapatkan udara manakala yang semput dikipas oleh pelancong lain.

Beliau yang tiba di Melaka sejak semalam bersama ahli keluarganya itu berkata kesemua pelancong diselamatkan apabila pengurusan menara berkenaan menghantar penyelenggara untuk membuat pembaikan di atas menara berkenaan.

Beliau mendakwa penyelenggara berkenaan menaiki menara berkenaan dengan cara memanjat tali kabel kerana itu satu-satunya cara untuk naik ke platform tersebut.

“Setibanya di pelantar berkenaan, penyelenggara berkenaan menggerakkan platform tersebut secara manual untuk menurunkan semua pelancong.

“Sebaik tiba di bawah, oleh kerana menara berkenaan tidak mempunyai kuasa elektrik, pihak bomba bertindak memecahkan kunci pintu bagi membolehkan semua pelancong keluar daripada menara berkenaan,” dakwanya.

“Kira-kira sejam kami semua terperangkap di dalam pelantar berkenaan sehingga berjaya keluar pada pukul 6.30 petang,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Penolong Penguasa Bomba Mohd Hanif Mustafa berkata pihaknya menerima panggilan kecemasa pada 5.58 petang sebelum tiba di tempat kejadian 7 minit kemudian.

Beliau berkata kerosakan awal berpunca daripada kerosakan sistem dan pihak penyelenggaraan Menara Taming Sari menggunakan motor sokongan untuk menurunkan pelancong selepas motor utama mengalami masalah mekanikal.

“Pihak bomba memastikan proses turun pelantar dalam keadaan baik dan mangsa terperangkap berjaya dibawa ke tempat selamat.

“Seramai 36 pelancong terbabit dalam kejadian itu membabitkan 26 dewasa, lapan kanak-kanak, seorang warga emas dan seorang orang kurang upaya (OKU),” ujarnya


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page