November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

3 Diva Rocketfuel Semarakkan Aidilfitri Dengan ‘Balik Raya’

Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

Lagu bernuansa Pop Moden dengan elemen klasik berjudul ‘Balik Raya’ telah dilancarkan baru-baru ini pada 23 Mac 2024 bertempat di Pavilion Bukit Jalil. Gandingan 3 diva popular naungan Rocketfuel Entertainment iaitu Wani Kayrie, Indah Ruhaila dan Nadeera telah memberi nyawa dan warna kepada keindahan sebuah single ‘Balik Raya’ hasil ciptaan composer muda berbakat, Rushdan.

Mengambil masa 2 bulan untuk dihasilkan secara berperingkat, melalui proses rakaman secara berasingan bagi setiap artis yang terlibat, dan apabila kesemuanya digabungkan menjadi sebuah karya yang lengkap. Single raya ini cukup menghiburkan dengan melodi catchy, easy listening dan malar segar. Wani, Indah dan Nadeera masing-masing sepakat berharap agar lagu ini berkumandang setiapkali Hari Raya menjelma serta menjadi siulan orang ramai dan terus menjadi evergreen.

“Seperti tahun-tahun yang lalu, Rocketfuel pasti ada buah tangan terbaharu setiapkali menjelang Ramadhan. Demi menyemarakkan bulan puasa pada tahun ini, kami gandingkan 3 diva sekaligus untuk hiburan anda semua.” ulas Prem Anand, selaku Vice President Rocketfuel Enternatinment. “Semoga lagu ini terus terpahat di ingatan pendengar semua setiapkali Hari Raya menjelma dan terus trending di media sosial.”

Sementara itu, Nadeera yang anggun berkebaya serba hitam pada petang itu bercerita, “Sebagai pendatang baru, pengalaman merakamkan lagu Raya yang pertama buat saya adalah merupakan satu momen yang tidak mungkin saya lupakan sampai bila-bila dan akan menjadi kenangan paling manis. Alhamdulillah saya rasa bersyukur dan gembira kerana dapat menghasilkan lagu Raya ini bersama penyanyi-penyanyi hebat seperti Wani Kayrie dan juga Indah Ruhaila.”

“Sebagai artis baru, Raya kali ini lebih istimewa buat saya kerana mendapat ucapan Raya daripada peminat-peminat dan sambutan Aidilfitri kali ini mungkin tidak banyak bezanya kerana setiap tahun saya akan bersama keluarga dan memilih untuk bersederhana sahaja.” sambungnya lagi.

Indah Ruhaila pula teruja berkongsi cerita tentang pengalaman merakamkan muzik video ‘Balik Raya’ yang pastinya tidak akan dilupakan. “Bayangkan kami terlibat dalam proses penggambaran muzik video ni selama 24 jam!” ujar si cantik manis yang mengenakan busana rona nude pada petang itu. “Kesemuanya wrap up sekitar jam 5 pagi. Ianya dilakukan sebelum bulan puasa di Sekinchan. Paling seronok dapat bekerjasama dengan rakan-rakan artis di bawah satu bumbung keluarga besar Rocketfuel Entertainment.”

“Lagi best bila saya dan Wani sempat cipta koreografi sendiri ketika penggambaran dengan harapan ianya akan menjadi dance challenge di media sosial nanti.” Turut berkongsi pengalaman berniaga di Bazaar Ramadhan ketika berusia 15 tahun, Indah berkata, “Waktu itu, walaupun kadang-kadang hujan dan paras air naik, tapi memang best giler! Saya tetap teruskan berniaga bersama keluarga. Pengalaman yang tak dapat dibeli dengan wang ringgit!”

Manakala menurut Wani Kayrie pula, “Sesibuk mana pun kita dalam menjalani kehidupan sehari-hari, apabila menjelang perayaan, pastinya kita akan pulang ke kampung utuk beraya bersama keluarga, kan?” Sambil tersenyum, Wani yang tampil comel bergaya dengan kebaya songket hitam, berkata “Sebagai anak seni yang bekerjaya dalam mencari rezeki, bila tibanya Hari Raya pasti saya akan meluangkan masa untuk pulang ke kampung halaman di Sandakan, Sabah bertemu dengan keluarga tercinta.”

“Pengertian ‘Balik Raya’ itu bukan sahaja semata-mata pulang ke kampong, namun lebih lagi. Sebagai umat islam kita hanya merayakan lebaran setahun sekali, rebutlah peluang ini untuk mengeratkan silaturrahim sesama keluarga, manfaatkanlah masa bersama dengan sebaiknya. Pengertian bahagia pula memadai dengan bersederhana, bukannya semua serba-serbi baru. Ianya lebih kepada mensyukuri keberadaan orang-orang tersayang kerana pasca bencana Covid-19 yang lalu, ramai di antara kita kehilangan ahli keluarga.”

Lagu ‘Balik Raya’ boleh dimuat-turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music. Manakala muzik video eksklusif single ini boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Rocketfuel Network bermula pada 26 Mac ini.

Semoga lagu ‘Balik Raya’ dari trio wanita-wanita hebat ini dapat diterima baik oleh semua pendengar kerana melodinya yang seiring dengan trend muzik terkini.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page