February 11, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

17 Tahun Menyepi, Baizura Kahar Muncul Semula Di Layar Kaca

Spread the love

Kemunculan Baizura Kahar Sebagai Watak Baharu Dalam Keluarga Iskandar 3 Mengubat Kerinduan Peminat Selepas Hampir Dua Dekad Menyepi

Selepas hampir dua dekad menyepi daripada dunia lakonan, pelakon Baizura Kahar akhirnya kembali ke layar kaca menerusi siri komedi keluarga popular, Keluarga Iskandar 3, sekali gus mencuri perhatian peminat yang sekian lama merinduinya.

Tiga episod terawal siri terbitan KL Motion Pictures Sdn Bhd itu mula menemui penonton pada 6, 7 dan 8 Februari lalu, disiarkan setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9 malam di Astro Ria.

Kemunculan Baizura sebagai watak baharu, Dr Sofea, isteri kepada Alan, nyata mengundang keterujaan penonton, terutama di media sosial seperti Threads, Instagram dan Facebook, apabila ramai meluahkan rasa terkejut dan gembira melihat pelakon filem Sepi (2008) itu kembali beraksi.

Rata-rata peminat turut tidak sabar menantikan episod seterusnya bagi mengenali lebih dekat watak yang dibawakan Baizura dalam musim ketiga siri kegemaran ramai itu.

Selain Baizura, Keluarga Iskandar 3 terus diperkukuh dengan barisan pelakon teras yang sinonim dengan siri berkenaan, antaranya Kismah Johari sebagai Mak Jah, Hilal Azman (Aziz Iskandar), Sobri Anuar (Azman Iskandar), Susan Lankester (Kamariah Abdullah), Azhar Sulaiman (Kamal), Anita Baharom (Azura Iskandar) serta Zain Hamid (Azlan Iskandar).

Mengulas kemunculan semulanya dalam industri lakonan, Baizura berkata dia kali terakhir muncul di layar perak sekitar 2007 atau 2008 sebelum memilih untuk berehat panjang demi memberi tumpuan kepada kerjaya lain.

“Jika diikutkan, kali terakhir saya berlakon adalah menerusi filem Sepi. Selepas itu saya berehat agak lama, kira-kira 17 hingga 18 tahun.

“Dulu saya berlakon untuk menampung perbelanjaan ketika belajar di universiti. Apabila sudah tamat pengajian, saya memilih untuk bekerja dan bukan lagi berlakon,” katanya.

Mengulas mengenai keputusan membuat kemunculan semula, Baizura mengakui minat terhadap lakonan tidak pernah pudar, namun dia hanya mahu kembali menerusi projek yang benar-benar sesuai.

“Minat berlakon itu sentiasa ada. Ia memang passion saya sejak dulu. Sekarang anak-anak sudah besar, saya rasa ini waktu yang sesuai untuk comeback, tetapi dengan syarat projek itu tepat.

“Seperti dialog popular dalam drama ini, ‘Allah dah set from the top’. Saya percaya masa dan projek ini memang sesuai untuk saya,” katanya.

Menurut Baizura, keselesaan bekerja bersama produksi dan pasukan kreatif Keluarga Iskandar, termasuk pengarah serta penulis skrip Wan Hasliza Wan Zainuddin, menjadi faktor utama dia menerima tawaran berkenaan.

Sebagai seorang penulis yang sudah lama bekerjasama dengan KL Motion Pictures, Baizura berkata dia sudah memahami gaya penulisan serta komedi yang dibawakan dalam siri itu.

“Sebagai penulis, saya memang sudah biasa bekerja dengan mereka. Jadi apabila kembali berlakon, Keluarga Iskandar 3 saya lihat sebagai projek yang tidak terlalu berat dan sesuai sebagai batu loncatan.

“Secara jujur, saya anggap ini permulaan terbaik untuk saya kembali aktif dalam industri,” katanya.

Baizura turut mengumumkan kesediaannya untuk menerima tawaran lakonan pada masa akan datang, selagi projek yang ditawarkan bersesuaian dengan dirinya.

“Saya seronok kembali berlakon. Jika ada tawaran dan projek yang ‘speaks to me’, saya terbuka untuk terlibat,” katanya.

Keluarga Iskandar 3 bersiaran setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9 malam di Astro Ria serta boleh distrim menerusi Astro GO dan sooka.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page