16 Tahun Menanti, Kaka Azraff Lahirkan Album Sulung ‘MPT’ Sarat Emosi & Kejujuran
Selepas 16 tahun mewarnai industri muzik tanah air, penyanyi dan komposer berbakat besar, Kaka Azraff, akhirnya menamatkan penantian panjang peminat dengan pelancaran album sulung berjudul MPT, singkatan kepada eMPaTI satu konsep yang mendasari keseluruhan karya ini, membawa maksud keupayaan memahami perasaan dan pengalaman orang lain seolah-olah berada di posisi mereka.
Bagi meraikan detik penting dalam perjalanan seninya, Kaka mengadakan Showcase & Listening Party eksklusif di Kafe Bijou, Ara Damansara, yang menghimpunkan peminat setia, pengamal media serta rakan-rakan industri muzik tempatan.
Menurut Kaka, album ini lahir daripada pengalaman kolektif sepanjang tiga tahun beliau memilih untuk memperlahankan langkah dan tidak berada di bawah sorotan utama. Tempoh tersebut membuka ruang buatnya mendengar, memerhati serta menyerap pelbagai kisah kehidupan, perbualan dan perkongsian daripada insan sekeliling, yang akhirnya menjadi sumber idea utama dalam membentuk arah serta identiti MPT.

“Album ini bukan tentang kesempurnaan teknikal, tetapi kejujuran emosi,” jelas Kaka yang memilih pendekatan lebih tulus dan organik dalam proses penciptaan lagu-lagu berkenaan.
MPT memuatkan enam buah lagu dengan naratif tersendiri iaitu Berubah, Cabar, Arguments, Bully, Takleh Usik dan Aku. Setiap lagu berdiri sebagai refleksi emosi dan pengalaman berbeza, namun saling melengkapi dalam membentuk satu perjalanan yang utuh.
Dari segi produksi, album ini merupakan hasil kolaborasi bersama dua penerbit berpengaruh, SonaOne dan Yonnyboii, yang berjaya mencipta landskap bunyi seimbang dan harmoni, seiring dengan tema empati yang menjadi teras album ini.
Menariknya, MPT tidak diposisikan sebagai kemunculan semula, sebaliknya sebagai kesinambungan perjalanan seni Kaka Azraff – satu fasa penyesuaian semula yang memberi makna kepada setiap pengalaman, hubungan dan ruang yang telah dilalui sepanjang kerjayanya.
Secara keseluruhan, MPT menandakan satu langkah ke hadapan, bukan sahaja dari sudut muzik, malah dari perspektif kehidupan, memperlihatkan kematangan dan perkembangan seorang artis yang hadir secara tenang, jujur dan berperingkat.
Album ini direalisasikan melalui kerjasama pelbagai pihak serta sokongan Dana Kandungan Kreatif (DKK) daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures, dengan edaran oleh Universal Music Malaysia.
Album MPT dijadualkan dilancarkan pada hujung Januari 2026.
