15 Lagu Mara ke Pentas Akhir ALI2024

Anugerah Lagu Indie Terus Kukuhkan Peranan dalam Dunia Muzik Alternatif Malaysia
Anugerah Lagu Indie 2024 (ALI2024) terus memperkukuh peranannya sebagai platform utama untuk mengetengahkan bakat muzik alternatif tanah air apabila secara rasmi mengumumkan 15 finalis utama yang bakal berentap di Pentas Akhir ALI2024 pada 27 Julai ini.
Majlis pengumuman eksklusif yang berlangsung di ESI Hub, Spacerubix itu menyaksikan 15 karya terbaik dipilih daripada 630 penyertaan meliputi tiga kategori utama iaitu Pop, Rock dan Hip Hop. Setiap lagu mewakili pelbagai naratif, identiti dan suara segar dalam landskap muzik indie Malaysia.
Mengukuhkan kredibiliti penganjuran, pemilihan lagu-lagu finalis dibuat oleh barisan juri profesional dari pelbagai cabang muzik – termasuk nama-nama seperti AG Coco, Irena Taib, Leaism, Loy Ekzan, Luca Sickta, Roshan Jamrock, Prof Madya Dr. Muhammad Sayyid, dan Wing Meng.
Penilaian dibuat berdasarkan sistem hybrid, 70% markah juri profesional, manakala 30% ditentukan melalui undian awam di laman rasmi ALI, www.anugerahlaguindie.com.my.

“Sejak edisi pertama pada 2020, ALI tidak pernah berganjak dari misi asalnya — mengangkat muzik indie tanpa mengira genre. Tahun ini, jumlah penyertaan melonjak kepada 630, suatu petanda jelas bahawa muzik indie semakin diterima dan berkembang,” ujar Ahmed Faris Amir, Penerbit Eksekutif ALI.
“Aspek penjurian kami tekankan ialah kualiti keseluruhan lagu — dari aspek susunan muzik, lirik hingga ke keaslian ekspresi. Kami bangga dengan kualiti penyertaan tahun ini,” tambah Jennifer Thompson, Penerbit Eksekutif Bersama.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, ALI2024 menawarkan ganjaran wang tunai terkumpul sebanyak RM36,000, dibahagikan kepada pemenang tiga kategori utama. Turut dipertandingkan dua anugerah khas iaitu Persembahan Terbaik dan Lagu Indie Terpaling Platinum Carta Indie Kita, sebagai penghargaan kepada impak dan persembahan luar biasa.

Anugerah ini juga mendapat dukungan padu daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui inisiatif Gaya Hidup Rakan Muzik dan Rakan Muda, dengan sokongan media daripada Rakita 107.9 (Radio Rasmi) serta media rakan seperti Malaysia Tribune, Medialah, Music Addicts Malaysia, Kaypoh Media, Malaysia Music Scene, Writer’s Daily dan LUAS.
Peminat muzik tempatan dijemput menyaksikan Pentas Akhir Anugerah Lagu Indie 2024 secara langsung di saluran YouTube rasmi Anugerah Lagu Indie pada Ahad, 27 Julai 2025, bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam.
Berikut adalah senarai rasmi finalis ALI2024 yang bakal membuat persembahan akhir:
KATEGORI HIP HOP TERBAIK
- “Different Worlds” – Bubba D
- “Shh Shh” – B-Heart
- “Good Day” – Fusion Cypher House
- “Malay Hood” – Bearboi
- “OK-GO” – Pikabu
KATEGORI POP TERBAIK
- “I Got a Woman” – Reubben Chelvan
- “Dewasa Yang Ku Impikan” – Umar Akmal
- “Jangan Merajok” – Max Brandon
- “Ke Akhirnya” – Fimie Don
- “TV Show” – Odelia Tirza
KATEGORI ROCK TERBAIK
- “Bola Si Ernie” – Teh Tarik Senja
- “Senandung” (ft. Otam) – Mafidz
- “Bima Sakti” (ft. Dhenaldi Savirio) – Crazy Grizzly
- “Anathema” – Inversion
- “I, Suffocate” (ft. Amanda Love & Ewan Roslan) – An Honest Mistake
Dengan penganjuran yang semakin mantap dan sokongan industri yang semakin meluas, Anugerah Lagu Indie 2024 dijangka terus memberi nafas baharu dan mencorakkan masa depan muzik alternatif di Malaysia.